TANAH JAMBU, Juma’at, 07 Disember 2023 – Majlis Penutup Program Syababul Watan (Tunas Bangsa) bagi anak-anak warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi tahun 1445H/2023M anjuran Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT) bertempat di Lecture Hall, Markas Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan ABDB. Seramai 28 peserta telah mengikuti program tersebut yang berlangsung dari 04 Disember 2023 hingga 07 Disember 2023.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Kolonel Haji Abdul Mutalib bin Bujang, Pengarah Logistik, ABDB. Turut hadir di majlis tersebut ialah pegawai-pegawai JAMA’AT dan ibubapa peserta program.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan secara hafazan Surah Al-Insyiqaq oleh peserta program dan rumusan program disampaikan oleh Pegawai Penyelaras Program. Majlis diteruskan dengan ucapan penutup program, penyampaian sijil serta cenderahati kepada para peserta program dari Tetamu Kehormat dan Doa Penutup dibacakan oleh peserta program tersebut.
Adapun objektif Program Syababul Watan (Tunas Bangsa) adalah sebagai salah satu usaha dalam meningkatkan pengisian kerohanian JAMA’AT kepada anak-anak Warga Kementerian Pertahanan dan ABDB pada sesi cuti persekolahan penggal akhir 2023. Antara pengisian program ini ialah lawatan ke tempat-tempat seperti HAB Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Saddle Club Bolkiah Garison, Sangkar Ikan Terapong Syarikat Surinam dan program-program motivasi, riadah dan tazkirah agama serta program-program agama yang lain untuk mendidik dan memupuk kesedaran serta kemahiran kendiri agar belia bersemangat cekal, yakin diri dan bertanggungjawab.



