BRUNEI-MUARA, Ahad, 01 Jamadilawal 1446H bersamaan 03 November 2024M - Seramai 250 orang Muallaf dari keempat-empat daerah dan 05 anggota gabungan Muallaf Pegawai-pegawai dan Lain-lain Peringkat daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menghadiri Majlis Perhimpunan Muallaf Senegara Kali Ke-2 bagi tahun 1446H/2024M Sempena Jubli Delima Pusat Da'wah Islamiah 1406H – 1446H yang diungkayahkan oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dengan kerjasama Unit Da'wah Daerah-Daerah bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Daerah Brunei-Muara.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dipimpin oleh Awang Muhd Halimin bin Abdul Wahid daripada Pusat Da'wah Islamiah kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Majlis.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian Ceramah Khas yang bertajuk “Cabaran Muallaf Tangani Masalah Kesihatan Mental" yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato' Profesor Doktor Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor/Ketua Eksekutif, Universiti Islam Selangor, Malaysia. Ceramah Khas tersebut bertujuan untuk memberi pemahaman yang mendalam kepada para Muallaf mengenai cabaran yang mereka hadapi dalam menangani isu gejala masalah kesihatan mental.
Majlis kemudiannya turut diselajurkan dengan Pelancaran Kad Imbasan mengenai “Mudahnya Mendirikan Sembahyang dan Bacaan Dalam Sembahyang" yang dapat dijadikan sebagai guidelines serta bahan rujukan kepada para Muallaf agar mereka dapat menunaikan ibadah seharian mereka dengan lebih teratur dan berkesan.
Di samping meraikan Jubli Delima Pusat Da'wah Islamiah 1406H – 1446H, Majlis Perhimpunan Muallaf Senegara ini juga antara lain bertujuan untuk mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan Muallaf dari keempat-empat daerah. Selain itu, dengan adanya inisiatif sedemikian, ianya diharap akan dapat menyebarluaskan lagi Da'wah Islam kepada para Muallaf serta Non-Muslims dan juga sebagai platform untuk meningkatkan motivasi dan menarik minat para Muallaf untuk turut sama menghadiri majlis ilmu serta memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berkongsi sama dan bertukar pengalaman.