BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 Ogos 2025 – Seramai 114 orang peserta Kursus Sejarah Islam anjuran Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMAAT ABDB) telah menyertai satu lawatan sambil belajar ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan secara langsung kepada peserta tentang khazanah Islam yang bernilai tinggi, termasuk manuskrip lama, artifak keagamaan, serta koleksi bahan sejarah yang berkaitan dengan penyebaran dan perkembangan Islam di rantau ini. Melalui pengalaman ini, para peserta berpeluang menghayati warisan Islam bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi juga dalam bentuk artifak fizikal yang memaparkan keindahan tamadun Islam.
Sepanjang lawatan, para peserta diberi taklimat oleh pegawai Balai Khazanah Islam mengenai sejarah penubuhan institusi tersebut, kepentingannya sebagai pusat rujukan Islam, serta usaha pemeliharaan bahan-bahan sejarah yang dijalankan.
Lawatan ini juga mencerminkan komitmen Jabatanarah Agama ABDB dalam menerapkan kefahaman agama dan semangat cinta ilmu dalam kalangan anggota ABDB dan warga Kementerian Pertahanan, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan warga tentera yang berdisiplin, berilmu dan berakhlak.
Lawatan sambil belajar ini diakhiri dengan sesi bergambar kenang-kenangan di perkarangan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

